Monday, January 18, 2010

Minyatul Musolli - Muka surat 4

maka orang yang mendirikan bagi sembahyang seperti yang disuruh Allah taala dan rasul-Nya menegahkan dia sembahyang daripada mengerjakan yang demikian itu daripada segala pekerjaan yang jahat-jahat dan sabda nabi s.a.w
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّى
sembahyang kamu seperti barang yang kamu lihat akan daku sembahyang - maka hendaklah kita mengikut akan yang dikerjakan nabi s.a.w atas jalan yang kita ambil daripada ulamak umat ini yang dahulu dan yang kemudian seperti yang disebut didalam kitab mereka itu radiallahuanhum ialah yang dinamakan dan yang dibilangkan daripada orang yang mendirikan sembahyang dan memelihara akan dia - kemudian maka adalah bagi sembahyang itu adalah baginya rupa yang zahir yang sempurna - maka iaitu syarat seperti ruhnya maka rukun seperti kepala dan badannya, sunat ab'ad seperti anggotanya dan sunat haiah itu seperti segala bulu perhiasannya - dan ada baginya rupa hakikat yang batin dan tiada sempurna bagi sembahyang dan tiada tamamnya melainkan dengan mendirikan ia dengan keduanya sekali - maka adapun rupanya yang zahir itu maka yaitu seperti berdiri dan takbir dan membaca fatihah dan rukuk dan i'tidal dan dua sujud dan duduk antara keduanya dan duduk tasyahhud dan tahiyyat dan salam - inilah segala rukun yang zahir dan sunatnya dan syaratnya - adapun hakikat yang batin maka seumpama khusyuk dan hadir hati dan sempurna ikhlas dan tazallul dan tafahhum bagi ma'anil qiraah dan tasbih dan lainnya daripada wazifah sembahyang yang batin - maka zahir sembahyang bahagian badannya dan anggotanya dan batin sembahyang bahagian hati dan sir dan demikian itu tempat tilik hak Allah s.w.t daripada hambanya yaitu hati dan sir - kata Imam Ghazali r.h. umpama orang yang mendirikan rupa sembahyang yang zahirnya jua dan lalai ia daripada hakikatnya yang batin seperti umpama seorang menghadiahkan bagi raja yang amat besar darjatnya akan seorang dayang yang mati tiada ruh baginya dan seumpama seorang yang mentaksir pada mendirikan zahir sembahyang seumpama ia menghadiahkan kepada raja akan seorang dayang yang terpotong anggotanya dan ketiadaan dua matanya maka adalah ia orang yang menghadiahkan ini dan yang dahulunya melentangkan keduanya itu akan diri keduanya bagi raja itu siksa dan murkanya dan marahnya kerana keduanya itu menghinakan bagi hormat kerajaannya dan meringankan oleh keduanya dengan hak kerajaan - kemudian katanya maka tilik olehmu akan diri kamu yang kamu hadiahkan sembahyang kamu kepada Tuhan kamu jangan ada seperti seperti itu dan takut olehmu kemudian maka takut bahawa engkau menghadiahnya dengan sifat ini maka mengwajibkan kamu siksa maka hendaklah engkau ketahui akan kadar sebesar-besar nikmat Allah taala menghadiahkan dan menganugerahkan Tuhanmu akan segala hamba-Nya sembahyang lima waktu ini seperti barang yang disebut pada hadis rasulullah s.a.w bahawasanya sabda ia:
مَا أُوتِىَ عَبْدٌ فِى الدُّنْيَا خَيْرًا أَنْ يُؤْذَنَ لَهُ رَكْعَتَيْنِ يُصَلِّيهِمَا
tiada diberi akan seorang hamba di dalam dunia yang terlebih kebajikan daripada diizinkan baginya pada mengerjakan dua rakaat yang disembahyangkan akan keduanya
فَفِيهَا يَحْصُلُ لَهُ الخَلْوَةُ مَعَهُ وَالإِنْفِرَادُ بِهِ وَالمُجَالَسَةُ لَهُ وَالإِنْقِطَاعُ إِلَيهِ وَفِيهَا تُرْفَعُ عَنْ قُلُوبِهِم الحُجُبُ وَالأَسْتَارُ وَتُجْلَى فِيهَا حَقَائِقُ الأَسْرَارِ وَتَشْرُقُ فِيهَا الأَنْوَارُ وَفِيهَا تَكُونُ المُنَاجَاةُ وَالمُصَافَاةُ وَهِى صِلَةٌ بَيْنَ العَبْدِ وَبَيْنَ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ
maka padanya hasillah baginya khalwah ia sertanya dan dapat asing ia dengan dia dan dapat sekedudukan baginya dan memutuskan dirinya kepadanya dan dapat padanya itu mengangkatkan daripada hati mereka itu akan dinding dan tabir yang antaranya dan antara Tuhannya dan nyatalah padanya itu segala 'haqaiq' dan 'asrar' dan teranglah padanya cemerlang segala cahayanya dan adalah padanya munajat hamba dengan Tuhannya dan jernih hatinya dan sirnya dan ialah perhubungan antara hamba dan Tuhannya azzawajjala

---------------------------------------------------------------
Huraian:
Sembahyang sebagaimana yang disuruh oleh Allah s.w.t mengikut sunnah Rasulullah s.a.w akan dapat menegah seseorang itu daripada melakukan perkara keji dan munkar seperti berjudi, minum arak dan berzina. Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya " Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang". Oleh kerana kita hidup jauh dari zaman Rasulullah s.a.w, maka sabda Rasulullah s.a.w itu membawa maksud, kita hendaklah sembahyang sebagaimana diajar oleh para ulama' sama ada ulama' dahulu yang mereka tinggalkan pengajaran mereka melalui kitab-kitab mereka ataupun sebagaimana diajar secara langsung oleh ulama' zaman sekarang.

Sembahyang yang sempurna memenuhi kedua-dua syarat iaitu zahir dan batin. Bahagian zahir sembahyang adalah seperti berikut:
- Syarat sembahyang adalah ruh
- Rukun sembahyang adalah kepala dan badan(contoh: Bacaan Fatihah, rukuk, sujud)
- Sunat ab'adh seperti anggotanya
- Sunat Haiah seperti perhiasan badan yang lain seperti bulu, kening, janggut dan sebagainya

Kesempurnaan batin sembahyang adalah seperti khusyuk, hadir hati, tazallul - menghina diri atau merendah diri - , tafahhum - memahami makna bacaan dalam semua wazifah - perbuatan atau pekerjaan - dalam sembahyang. Tempat bagi perbuatan batin ialah hati yang mana lebih diambil kira oleh Allah s.w.t daripada sekadar perbuatan zahir.

Imam Ghazali r.a. memberi perumpamaan orang yang mendirikan sembahyang dalam keadaan lalai hatinya seperti seseorang yang menghadiahkan seorang dayang atau hamba yang mati kepada seorang raja yang tinggi darjatnya. Manakala orang yang sembahyang yang tidak sempurna perbuatan zahir sembahyang seperti rukun dan syarat sembahyang adalah seperti menghadiahkan hamba yang cacat anggotanya. Maka akibat daripada pemberian ini, raja pasti murka dan orang yang memberi hadiah itu akan menerima siksaan daripada raja.

Oleh yang demikian, kita hendaklah mengelakkan diri daripada melakukan sembahyang yang tidak sempurna sama ada zahir ataupun batin kerana mendirikan sembahyang seumpama menyerahkan sembahyang kita kepada Allah s.w.t yang bukan sekadar Raja segala raja dibumi, bahkan raja bagi sekalian alam dan ketidaksempurnaan sembahyang akan mengundang murka daripada Allah s.w.t.

Allah s.w.t telah menjadikan sembahyang nikmat yang besar kepada hamba-hamba-Nya. Allah s.w.t telah memuliakan syariat sembahyang sehingga penyerahan kewajipan sembahyang bertempat di langit pada malam israk dan mi'raj Rasulullah s.a.w. Umat Islam perlu membuang anggapan bahawa pensyariatan sembahyang adalah sesuatu yang membebankan sedangkan dalam sembahyang inilah Allah s.w.t memberi ketenangan, kerehatan hati, minda serta anggota dan segala macam makrifat dan rahsia yang Allah campakkan dalam hati hamba-Nya yang bersembahyang.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Tiada yang lebih baik yang diberi kepada seorang hamba selain daripada dapat mengerjakan solat dua rakaat".

Sembahyang sebagai nikmat yang besar ini dinyatakan juga oleh pengarang kitab sebagai:
- khalwah atau bersunyian bersama Allah s.w.t
- pengasingan daripada kesibukan dunia
- ketenangan hati bersama Allah s.w.t
- memutuskan semua urusan hidup apabila mengadap-Nya
- tabir dan hijab akan diangkat dalam sembahyang untuk hamba-Nya yang terpilih
- dibentang kepadanya rahsia dan hakikat
- diterang kepada hamba-Nya cahaya kecemerlangan
- tempat munajat atau bicara dengan Allah s.w.t
- menjernihkan hati
- cara berhubung Allah s.w.t bersama hamba-Nya.


No comments:

Post a Comment